Anak-anak kurang upaya mempunyai keistimewaannya jika diasah bakat mereka
Beberapa tahun lalu, bekas Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak
memperkenalkan penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menolak
penggunaan Orang Kurang Upaya satu terminologi yang telah lama digunakan untuk
merujuk kepada mereka yang dianggap cacat.
Alasannya, mereka ini harus dilihat dalam cara
yang betul kerana yang berbeza bukanlah dari segi fizikal tetapi keupayaannya
disebabkan oleh sesuatu sebab semulajadi atau kejadian yang diingini. Mereka
wajar dinilai kebolehannya berasaskan kelainan keupayaannya berbeza dengan
mereka yang dianggap sempurna.
Kerana itu, misalnya USM mengiktiraf seorang
siswi cerebral palsy, Tan Chin Chin sebagai penerima Pingat Emas Canselor dalam
upacara konvokesyen sebagai graduan serba boleh yang tentunya tidak boleh dibandingkan
dengan mereka yang sempurna sepenuhnya dari segi fizikal.
Malah kejayaan Dr. Muzammil Mohd. Noor sebagai
seorang ahli akademik yang menggunakan kerusi roda menjadi antara contoh nyata
kejayaan mereka yang mempunyai keupayaan berbeza tetapi cemerlang walaupun
semasa kecilnya melalui zaman sukar yang sering diperkecilkan.
Baru-baru ini, seorang warga USM yang juga
menggunakan kerusi roda kerana masalah kakinya meluahkan perasaan sedih dan
kecewa kerana ketika memulakan kerjayanya sebagai seorang kerani melalui
pengalaman yang amat sukar. Kedudukan kerusi dan meja, kediaman di asrama yang
tidak sesuai, kesukaran untuk menggunakan mesin ATM bank dan pelbagai lagi.
Namun dengan tekad dan semangatnya yang tinggi
membolehkannya menjejak kaki ke universiti dan menggenggam segulung ijazah.
Kisah-kisah begini menggambarkan betapa kelainan keupayaan bukanlah halangan
untuk berjaya jika kita benar-benar prihatin dengan nasib mereka yang berada di
sekeliling kita.
Mereka sebenarnya hanya berlainan keupayaan
bukannya kurang keupayaan. Ada ketikanya mereka lebih hebat dari kita yang
menganggap diri sempurna.
Namun begitu, terdapat alasan tertentu mengapa
terminologi Orang Kurang Upaya digunakan terus, malah diterima pakai oleh
golongan ini sendiri. Terdapat halangan-halangan tertentu yang menyebabkan ia
perlu terus digunakan.
Satu kajian tentang kedudukan OKU dalam
masyarakat negara ini telah pun diterbitkan oleh Penerbit USM sebagai rujukan
iaitu Work and Disablity - A Malaysian Scenario oleh Dr. Magdalene Ang yang kini
seorang tenaga pengajar di Labuan School of International Business and Finance,
UMS.
Masalah penggunaan terminologi ini juga banyak
dibincangkan dalam buku ini sebagai satu usaha untuk kita lebih memahami
tentang kedudukan dan peranan OKU dalam masyarakat dan negara, termasuk
sumbangan besarnya kepada ekonomi negara.
Namun begitu, laporan Pertubuhan Buruh
Antarabangsa (ILO) 2003 menyatakan kira-kira 200 juta OKU di rantau Asia
Pasifik yang tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan, manakala laporan lain
pada 2005 pula menyebut walaupun mendapat peluang pekerjaan sebahagian besarnya
di bawah lebih rendah dari sepatutnya.
Namun, di negara kita, pelbagai usaha dibuat
untuk membantu mereka dan diberikan pengiktirafan yang sangat tinggi. Malah
Perdana Menteri dalam beberapa kenyataannya menyebut betapa pentingnya kita
keluar dari paradigma yang ada terhadap OKU.
Mungkin kita juga tidak pernah terniat untuk
memencilkan atau menidakkan hak OKU. Namun, sampai masanya sama ada institusi
pengajian dari sekolah sehinggalah ke universiti, organisasi dan institusi lain
termasuk industri melihat hal ini dengan teliti. Perkara-perkara yang kita
anggap kecil dan mudah mungkin tidak bagi mereka.
Asrama pelajar juga harus melihat dan memberikan
sokongan kepada mereka yang masih belajar dari awal mungkin. Kumpulan-kumpulan
sokongan daripada pelbagai kelompok harus melihatnya dengan serius. Walaupun
pelbagai dorongan, kemudahan dan insentif diberi, yang utama adalah kesungguhan
menyediakannya dan menghulurkan bantuan secara berterusan.
Penggunaan terminologi Orang Kelainan Upaya
barangkali mengungkapkan penghormatan dan kekuatan diri yang berlainan yang
sekali gus berkemungkinan memberikan satu persepsi baru yang lebih bermakna
kepada OKU. Kita perlu mengiktiraf insan istimewa ini sebagai berlainan
keupayaannya, bukannya kurang keupayaannya.
Ia juga mengungkapkan hasrat untuk kita lebih
menghargai golongan ini dan melihat keperluan mereka yang sebenarnya. Kita
harus merasai bagaimana kesukaran dan kepayahan yang dilalui apatah lagi dengan
stigma serong sesetengah kita terhadap kemampuan sebenar mereka.
Bakat yang ada ada pada mereka harus
dimanfaatkan dan kitalah yang harus melakukannya. Buku tulisan Dr. Magdalene
Ang adalah pembuka mata kita terhadap nasib mereka di negara ini. Lebih banyak
rujukan dan dokumentasi kisah mereka harus diusahakan agar masyarakat dapat
benar-benar menghayati dan lebih prihatin.
Terminologi Orang Kelainan Upaya barangkali
dapat membantu untuk kita memberikan kelainan persepsi dan pemikiran terhadap
mereka yang boleh kita ketengahkan, namun jika ada kesukaran dan halangan,
gunalah apa jua terminologi yang dapat membantu mengangkat mereka ke tahap yang
sewajarnya, walaupun Orang Kurang Upaya yang telah kita guna sekian lama.
© Utusan Melayu (M) Bhd