Di Malaysia, menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997) Bahagian II 3 (2) menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.
Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif. Tempoh pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun manakala bagi sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehinggan dua tahun maksimum mengikut keperluan murid.
Bilangan murid pendidikan khas rendah dan menengah di seluruh Malaysia adalah seramai 2 912, manakala guru pula ialah seramai 630. Terdapat sebanyak 28 buah sekolah rendah, iaitu lima (kanak-kanak buta), dan 23 (kanak-kanak pekak). Bagi sekolah menengah rendah pula, terdapat 4 buah sekolah pendidikan khas iaitu, 1 (kanak-kanak buta) dan 3 (kanak-kanak pekak). Bilangan murid pendidikan khas integrasi pula adalah seramai 11 961, manakala gurunya pula adalah seramai 2 587 orang.
Syarat-syarat kemasukan ke sekolah pendidikan khas pula adalah :
- Tadika ( berusia tidak kurang 6 tahun )
- Sekolah Rendah ( berusa 6+ hingga 14+ tahun )
- Sekolah Menengah ( 13+ hingga 19+ tahun )
Semua kanak-kanak ini mestilah mendapat pengesahan daripada doktor terlebih dahulu dan dapat menguruskan diri sendiri tanpa bantuan individu atau orang lain.
FALSAFAH PENDIDIKAN KHAS
Pendidikan khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan